Selasa, 9 Jun 2009

Sejarah Dan Salah Silah Perguruan Seni Silat Jawa Betawi

SEJARAH DAN SALAH SILAH PERGURUAN

Seni Silat ini dikenali dengan nama Seni Silat Jawa Betawi. Pada era 1940-an sehingga 1980-an, silat ini hanya dikenali dengan nama Silat Jawa atau digolongkan dalam kategori silat pulut yang dimainkan di majlis keramaian seperti kenduri kahwin dan sebagainya. Walaubagaimanapun, seni silat ini kerap mendapat undangan Almarhum Tengku Kasim untuk dipertontonkan di khalayak dan kadang-kadang diminta ‘berlaga’ dengan pesilat lain oleh beliau.

Pengasas seni silat ini ialah Almarhum Sheikh Abdul Yunus yang berasal dari tanah seberang iaitu Daerah Chirebon di Kepulauan Jawa. Pada ketka itu, beliau sedang beruzlah di Gunung Serimbun. Beliau kemudiannya mewariskan ilmu seni silat ini kepada seorang anak muda yang sangat sukakan ilmu dan merantau yang bernama (almarhum) Salleh. Dikatakan bahawa seni silat ini adalah permainan orang jawa dan Salleh merupakan orang Bugis. Bagaimanapun Allah telah mentakdirkan bahawa ilmu permainan orang Jawa ini akan dibawa dan diperkembangkan oleh orang Bugis. Justeru ianya diperkenalkan dengan nama Seni Silat Jawa Betawi. Silat Jawa merujuk kepada asal permainan ini iaitu dari orang Jawa, manakala Betawi pula merujuk kepada daerah asalnya dan untuk mengelakkan kekeliruan dengan perguruan lain seperti Kuntau Jawa dan sebagainya.

Sebagai anak Bugis yang taat beragama, semangat untuk merantau dan mencari ilmu serta pengalaman berkobar di dalam jiwa Salleh yang dikenali sebagai Haji Salleh Jawa, Haji Jawa dan Tok Jawa setibanya di Tanah Melayu. Pada tahun 1897, ketika berusia seawal 25 tahun, beliau telah belayar ke Tanah Melayu dan tiba di tempat persinggahan pertama beliau iaitu Sidam di dalam negeri Kedah. Sebagai seorang perantau, beliau telah melakukan pelbagai pekerjaan dan kemudiannya telah mengajar ilmu persilatan Silat Jawa ini kepada orang-orang kampong dan mewariskannya kepada Senapi Yob iaitu anak Penghulu Sidam. Beliau kemudiannya telah mengembangkan lagi ilmu persilatan ini kepada penduduk Kampung Lahar Yooi dan Permatang Tok Dek. Di sini, beliau telah bertemu jodoh dengan Mek Tam. Hasil perkongsian hidup beliau telah mendapat seorang anak lelaki. Walaubagaimanapun, anak lelaki beliau telah telah meninggal dunia ketika berumur belasan tahun. Sebelum merantau ke Guar Cempedak, belaiu telah mengamanahkan semua gelanggang Kepada Senapi.

Di Guar Cempedak, beliau telah mewariskan persilatan ini kepada Haji Hussin Che Dol. Seterusnya beliau meneruskan perjalanan ke Kampung Pondok Chegar iaitu satu tempat pengajian agama. Disini beliau telah mewariskan pula kepada Haji Shafie bin Haji Tahir. Haji Salleh kemudiannya telah membuka gelanggang di Sawa, Pendang dan mewariskannya kepada Hai Awang Haji Hamid atau lebih dikenali sebagai Haji Awang Mudim dan anak saudaranya iaitu Ahmad bin Hashim atau digelar Mat Punjab. Dalam tahun 1940, Haji Salleh masih mengajar di Sawadan anak murid bongsunya ialah Haji Hamid bin Haji Mahmud. Beliau kemudiannya meneruskan perjalanan dan berhenti di Kampung Padang Panjang, Mukim Kuala Rimau dalam daerah Pendang dan meninggal dunia pada tahun 1945 ketika berusia lewat 73 tahun. Namun beliau tidak meninggalkan zuriat dan pewaris harta kecuali anak-anak muridnya yang mewarisi ilmu silat dan agamanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan